;

Selasa, 12 Mei 2009

Kenyataan Perdana Menteri di Malaysiakini

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menasihatkan rakyat Perak supaya bertenang dan tidak terlalu teruja dengan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang mengisytiharkan Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin sebagai menteri besar yang sah.


"Kita akan selesai segala masalah," kata Najib ketika diminta mengulas keputusan mahkamah tersebut.

Dalam penghakimannya, Hakim Abdul Aziz Abd Rahim berkata seseorang menteri besar hanya boleh dipecat melalui undi tidak percaya di DUN, seperti kes Stephen Kalong Ningkan.

Hakim menambah, dalam kes pelucutan Mohamad Nizar, tiada persidangan dewan diadakan untuk meluluskan usul sedemikian.

Permohonan peguam Zambry, Cecil Abraham untuk menangguhkan penghakiman tersebut ditolak oleh mahkamah.

Mengulas lanjut mengenainya, Najib berkata, rayuan akan dikemukakan terhadap keputusan mahkamah hari ini.

"Kita akan merayu terhadap keputusan itu dan kita harap mendapat tarikh awal untuk melakukannya. Saya tidak boleh mengulas banyak kerana perkara ini masih dalam bidangkuasa mahkamah.

Mungkin rayu esok

"Jadi, saya mahu katakana bahawa kita mempunyai kes yang kuat, kedudukan yang kuat dan kita akan merayu terhadap keputusan itu," tambahya.

Ditanya sama ada pilihanraya mengejut patut diadakan, Najib menjawab: "Saya tidak dapat mengulas perkara itu kerana ianya bergantung kepada kebijaksanaan Sultan Perak."

Ditanya sama ada beliau akan menghadap Sultan Perak, perdana menteri berkata: "Saya boleh jumpa baginda pada bila-bila masa.

"Tetapi tidak mengapa, ia di bawah bidang kuasa baginda".

Ditanya sama ada pilihanraya mengejut tindakan terbaik menyelesaikan kemelut Perak, Najib berkata:

"Saya tidak mengulas banyak, langkah pertama kita adalah merayu terhadap keputusan itu."

Mengenai tarikh untuk membuat rayuan tersebut, Najib berkata: "Kita akan dapatkan tarikhnya (untuk merayu) secepat mungkin. Kemungkinan esok."



Ulasan Pak We Lang:

Dato Seri Mohd. Najib bin Tun Abd Razak akhirnya mengakui bahawa rakyat Perak sememangnya begitu teruja dengan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. Semestinya rakyat Perak memberi sokongan yang padu terhadap kerajaan pilihan mereka.

Tetapi sedikit kengerian dirasakan, di atas kenyataan yang diberi oleh PM kita itu. Bila dinyatakan "Kita akan selesaikan segala masalah". Apakah maksud selesaikan itu? Apakah tindakan yang akan dilaksanakan? Aku melihat senario yang berlaku di negeri kelahiran aku ini. Bagaimana polis yang selama ini tidak dibenarkan memasuki dewan sidang DUN, boleh masuk dengan sewenangnya. Urusan Setiausaha yang kebiasaannya di belakang tabir, dilihat menjadi watak utama dalam drama yang berlalu lepas.

Aku juga mendapat perkhabaran bahawa pihak FRU dan UTK sudah bersiap sedia sekarang ini di bangunan SUK Negeri Perak. Untuk apa mereka bertindak segera ke sana? Adakah mereka menganggap akan berlaku keganasan melampau? Kalau ya, siapa perencananya?

Sebagai rakyat Perak, aku inginkan pembubaran DUN dilakukan secepat mungkin. Biarkan rakyat membuat pilihan sebenar mereka. Pasti rakyat negeri akan bertenang sekiranya pilihan mereka menerajui negeri tercinta mereka.

 
© Copyright by Pak We Lang  |  Template by Blogspot tutorial