;

Khamis, 11 Jun 2009

Sisters In Islam Patutkah Diharamkan?

Sisters In Islam (SIS) merupakan sebuah pertubuhan yang dikatakan memperjuangkan hak-hak wanita Islam. Jika SIS Malaysia, maka ia memperjuangkan hak-hak wanita Islam di Malaysia. Kalau di negara lain, maka ia memperjuangkan hak-hak wanita Islam di negara tersebutlah. Itulah antara yang telah diterakan dalam misi dan visi di dalam laman web pertubuhan itu. Persoalannya benarkah mereka berbuat demikian?



Tun Dr. Mahathir begitu mempertahankan mereka, apabila PAS meminta SIS diharamkan. Kenyataan PAS yang berbunyi SIS perlu diharamkan sekiranya melanggar akidah dan etika Islam. Pada aku benarlah sekiranya mereka sendiri tidak dapat mengikut keseluruhan akidah Islamiah tersebut, bagaimana mereka boleh menjadi pemimpin untuk Islam.

Lihat sahaja Pengarah Eksekutif SIS iaitu Zainah Anwar. Jika benarlah mereka memperjuangkan Islam, mengapa sukar benar mereka hendak mengenakan tudung di kepala mereka. Islam telah menetapkan bahawa memakai tudung itu ialah wajib. Wajib bermakna mesti ditunaikan dan jika diabaikan atau ditinggalkan maka ianya dianggap berdosa dalam hukum Islam. Mengapa mereka tidak amalkan?

Pastinya SIS akan katakan bahawa pemakaian tudung adalah hak individu. Namun, mesti ingin ditegaskan di sini bahawa halal tetap halal dan haram tetap haram. Sebenarnya SIS sebenarnya telahpun mempertikaikan Islam seandainya, mereka yang berada di dalam SIS menolak pemakaian tudung tersebut. Pemakaian tudung yang dimaksudkan bukanlah seperti di menutup kepala sekadar ada, tetapi tutup yang menepati syariat Islam.

SIS juga hendak diharamkan mungkin susah kerana ia dianggotai oleh orang-orang yang berkepentingan di dalam politik berkemungkinan. Tetapi yang perlunya ialah SIS patut menukarkan namanya. SIS tidak layak menggunakan perkataan Islam kerana penampilan mereka kepada umum dan dunia luar tidak seperti Islam sejati. Mungkin mereka patut menukarnya kepada "Sisters In Human Right". Nama tersebut lebih sesuai dengan penampilan anggota di dalamnya.

Pernah kedengaran juga sebelum ini apabila Majlis Fatwa Kebangsaan (MFK) menetapkan bahawa pengamalan yoga adalah haram, maka pihak SIS sekeras-kerasnya menentang. Mengapa mereka mesti mempertikaikan perkara tersebut? Mereka yang berada di dalam MFK tersebut bukannya calang-calang orang di dalam Islam. Mereka merupakan antara individu cerdik pandai di dalam pengetahuan Islam. Fatwa dari MFK pun SIS bangkang. Sepatutnya sebagai sebuah pertubuhan yang tertera memperjuangkan Islam, terimalah keputusan yang telah dikeluarkan oleh MFK.

SIS sepatutnya bersetuju dengan kenyataan tersebut. SIS patut faham mengapa MFK menetapkan perkara tersebut sebagai haram. Sebenarnya tidak perlu yoga untuk orang Islam ini, sebabnya terdapat kajian yang pernah dikeluarkan dalam akhbar tempatan bahawa solat merupakan satu senaman yang dapat mencergaskan fizikal dan mencerdaskan minda. Jika benar-benar perlukan kesihatan yang sihat tersebut amalkan solat lima waktu dan ditambahlah dengan solat-solat sunat yang dituntut dalam Islam. Bukan itu sahaja, wuduk yang menjadi teras untuk kesempurnaan solat tersebutpun mempunyai banyak kelebihan dan faedahnya. Mengapa anggota SIS, macam orang pekak dan tuli tentang Islam?

Tentang kes poligami. Ini sememangnya kes hangat di kalangan golongan wanita. SIS sebuah pertubuhan wanita begitu lantang membantah kes poligami ini. Sejak dari awal penubuhannya, SIS telah menjadikan ‘perjuangan hak-hak wanita’ sebagai agenda utama mereka. Di dalam hal poligami, SIS beranggapan bahawa poligami boleh mengancam kebahagiaan dan keharmonian institusi keluarga. Bertolak dari sini, mereka cuba untuk menjadi ‘heroin’ yang kononnya akan menyelamatkan wanita dari ditindas oleh golongan lelaki.

Yang peliknya, tajuk pilihan mereka tetap poligami, seolah-olah dunia ini penuh dengan penindasan oleh lelaki yang berpoligami, dan dunia akan mengalami kehancuran jika perkara ini tidak disekat. Padahal, daripada fail-fail yang menimbun di Mahkamah, banyak sekali kes penderaan rumahtangga, perceraian, tuntutan nafkah, harta sepencarian, penjagaan anak dan bermacam pengabaian tanggungjawab oleh suami terhadap isteri berlaku di dalam kes-kes yang melibatkan perkahwinan monogami. Jadi, mengapa mereka tidak melakukan kajian terhadap amalan monogami? Apakah sebenarnya agenda mereka? Memperjuangkan hak-hak wanita atau memperjuangkan perkara yang dibenci oleh wanita? Bentuk soal-selidik yang dirangka itu dilihat akan mengarahkan kepada hasil yang mereka hasratkan, agar pihak berkuasa menguatkuasakan undang-undang untuk menyekat lelaki Muslim daripada melakukan poligami.

Seperkara lagi berkaitan Norhayati Kaprawi merupakan Pengurus Program SIS yang pernah membuat membuat kenyataan berikut:

Women’s groups have come out in support of the Health Ministry for promoting the use of condoms to combat HIV, but say practising safe sex is the responsibility of both men and women”

"We hope the ministry allocates a bigger budget for free condoms for those who need it, like drug abusers and their partners”


Kenyataan ini dikeluarkan setelah Timbalan Menteri Kesihatan masa itu iaitu Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad dalam The Star seperti berikut:

In view of the rising number of women contracting HIV, every woman should carry a condom with her for her own protection”


Kenyataan yang dikeluarkan seolah-olah SIS menggalakkan seks bebas. Adakah SIS menghalalkan seks bebas? Jika benar SIS menghalalkan seks bebas ini, sudah tentunya SIS merupakan pertubuhan ajaran sesat. Pihak berwajib di dalam Agama Islam mesti bertindak terhadap SIS.

Isu yang paling sensitif di kalangan orang Islam ialah isu murtad. SIS yang dikatakan sebagai pihak yang memperjuangkan Islam sepatutnya mestilah menentang kes murtad ini kerana di dalam menyatakan bahawa orang Islam yang murtad itu, boleh dibunuh. Persepsi SIS lain pula, mereka mengagungkan kenyataan kebebasan beragama di dalam negara Malaysia ini. Tidakkah anggota dalam SIS faham bahawa membuat kenyataan yang bertentangan dengan agama juga boleh diletakkan sebagai MURTAD?

Di dalam kes Lina Joy, Norhayati Kaprawi telah membuat kenyataan mewakili SIS iaitu:

"SIS tidak pernah menyuruh Lina Joy untuk keluar agama Islam, tetapi kami berpendapat, hasrat beliau harus dihormati. Tiada siapa berhak menghalangnya kerana Perlembagaan Malaysia telah jelas menjamin hak kebebasan beragama dan seperti yang saya katakan tadi, Islam jelas menyatakan bahawa tiada paksaan dalam agama."


Mengapa SIS mesti bercakap berkaitan perlembagaan Malaysia? Sedangkan mereka merupakan pertubuhan mewakili Islam? Adalah lebih baik sekiranya SIS tidak terlibat langsung di dalam membuat kenyataan berkaitan kes tersebut. Seandainya kenyataan yang dikeluarkan tidak mencerminkan perlembagaan Islam, lebih baik SIS berdiam diri daripada mengeluarkan kenyataan yang berunsur anti Islam.

Kebanyakan suara-suara yang dikeluarkan oleh SIS terdiri dari fahaman liberal yang disogok oleh fahaman sekularisme yang telah bertapak di dalam hati anggotanya. Terdapat juga kenyataan yang dibuat adalah seperti anti Islam. Apa guna lagi SIS di Malaysia? Kenyataan untuk Islam mestilah merujuk kepada Al-Quran dan Hadis Rasulullah, bukannya merujuk kepada otak sendiri sahaja.

Syarat yang SIS perlu patuhi untuk menampakkan bahawa SIS merupakan pertubuhan mewakili Islam ialah setiap kenyataan SIS perlulah dengan dalil dari Al-Quran dan Hadis Rasulullah. Jika tiada kenyataan tersebut bukan dari Islam tetapi dari kepala otak anggota SIS semata-mata.

 
© Copyright by Pak We Lang  |  Template by Blogspot tutorial